“Lelaki Sekarang Kalau Tak Ada Gaji RM5000.00, Jangan Fikir Nak Kahwin” – Wanita Ini Sahut Cabaran Dan Ceritakan Apa Yang Perlu Semua Suami Contohi

3.54 am.

Badan sangat penat. Hari ini meeting dari pagi. Tapi mata saya tak boleh lelap. Puas dah golek sana, golek sini, pusing sana, pusing sini. Jadi saya ambil keputusan untuk bangun dan sambung kerja saja.

Anyway, saya terbaca beberapa post tentang ada kajian ‘mendapati’ kaum wanita memilih bakal suami yang bergaji minimum RM5,000.00. Katanya, untuk zaman sekarang, kalau gaji banyak itu, baru income dianggap stabil.

Saya tak nak komen pasal kajian yang entah siapa buat tu. Saya cuma nak kongsi kisah kami suami isteri. Kisah realiti rumah tangga.

Sebelum berkahwin, gaji bakal suami saya tak besar mana. Masa bertunang, bakal suami baru berhenti kerja. Tak lama kemudian, baru dapat kerja baru. Gaji masih tidak tinggi. Minimum. Budak stor, katanya.

Selepas berkahwin, perkara pertama yang ditunjukkan dan ‘diwasiatkan’ kepada saya ialah senarai hutangnya. Ajal datang bila-bila masa. Jangan sampai saya terpinga-pinga kalau ada sesiapa yang datang menuntut hutang. Kami ketawa besar waktu itu. Kenapa entah.

Saya masih ingat sewaktu majlis meminang dan menetapkan hantaran, bakal suami telefon saya. Jelas ayatnya kepada saya, “Saya hanya mampu sebanyak ‘itu’. Kalau lebih dan mak abah awak tak boleh bertolak ansur, saya tak ada pilihan lain. Kita sampai sini sahaja.”

Marah betul saya waktu itu. Berani dia cakap macam tu pada saya? Waktu majlis meminang pula tu? Kenapa tak cakap awal-awal? Senang saya cari orang yang lebih kaya daripada dia. Haih.

Tapi itulah suami saya. Jujur, berterus terang dan waktu itu dia tidak ragu-ragu buat keputusan tanpa berfikir panjang. Mujur sekarang tak buat perangai macam tu dah.

Tahun-tahun awal perkahwinan, gaji suami masih kecil. Saya tak pernah rasa terbeban atau mahu merungut, walaupun kami hidup minimum saja di bandar besar ini. Tetap, tuan suami tidak pernah berhenti berusaha dan berusaha menambah pendapatan.

Apabila dapat anak pertama, Adam, Tuan Suami lebih ketara mahu mencari income lebih. Pernah buat website dan pernah juga dia berniaga kacang tumbuk. Otaknya sentiasa ligat berfikir. Tangan dan kakinya pula tak henti berusaha.

Selepas lebih lima tahun bekerja dengan syarikat pendidikan antarabangsa, suami ambil keputusan berhenti kerja. Dia mahu mulakan bisnes tuisyen menggunakan modul Matematik yang dibangunkannya sendiri. Kalau tak silap, dia masih buat website waktu itu. Bayaran yang diterimanya digunakan semula untuk cetak bunting, flyers dan apa sahaja marketing tool yang sesuai dengan bajet yang kecil itu untuk kelas tuisyennya. Kalau tak cukup, saya tambah saja dengan duit gaji saya.

Hampir setiap malam, dia akan keluar menggantung bunting, seorang diri. Saya di rumah dengan Adam. Ikutkan hati, saya mahu ikut dia ke mana sahaja. Bimbang punya pasal. Tapi mengenangkan dia perlu bawa tangga dengan kereta kecil Kelisa kami, bimbang Adam tak selesa. Lagipun Tuan Suami biasa keluar menggantung bunting sekitar jam 12.00 am. Risau juga Adam meragam sebab dia masih sangat kecil waktu itu.

Saya masih bekerja dengan gaji yang juga tidak besar. Bisnes suami masih belum jana apa-apa pendapatan. Agak lama juga, saya bayar semua bil dan belanja rumah dengan duit gaji. Habis duit itu biasa. Ada dua barang sahaja yang kami pastikan tidak putus; diapers dan susu Adam. Itupun sangkut-sangkut juga.

Suatu hari, saya pulang daripada kerja dengan kawan. Saya masuk ke dalam rumah dan mencari-cari suami. Tak jumpa. Saya masuk ke dalam bilik dan terdengar suara orang menangis. Hairan saya. Saya tahu itu suara Tuan Suami.

Memang betul. Dia sedang duduk di tepi dinding, sedang duduk memeluk kedua-dua lutut sambil menyembunyikan mukanya di celah lutut itu. Menangis. Sayu betul hati ni. Tak pasal-pasal saya menangis sama walaupun tak tahu apa hujung dan pangkalnya.

Katanya, dia rasa seperti seorang ‘loser’. Kasihankan saya yang bekerja seorang diri dan membayar semua bil dengan gaji sendiri; sedih tak dapat bagi belanja bulanan kepada saya; sedih tengok saya tak dapat belanja diri sendiri; sedih kerana bisnesnya masih belum jana apa-apa income; macam-macam lagi yang buatkan dia rasa ‘down’.

Saya yakinkan dia, saya langsung tak fikir semua tu. Saya pun bukannya buat kerja tengah panas membanting tulang berpeluh lencun bagai. Malah, saya lebih kasihankan dia. Saya jadi saksi betapa dia sungguh-sungguh berusaha, cuma masih belum ada rezeki. Kami berdua menangis sepuas hati hari itu.

Habis menangis, kami bangun, basuh muka, bersihkan diri dan sambung buat kerja seperti biasa. Macam tak ada apa-apa. Sesekali bercerita tentang angan-angan dan impian nak ada bisnes sendiri. Waktu itu, saya sudah mula dapat beberapa job part time untuk suntingan dan layout buku.

Sehingga sekarang, kami masih bekerja keras dan sesekali ‘berbincang hangat’ tentang kewangan.

Ok. Cukup setakat itu. Selebihnya, bacalah dalam buku saya yang entah tahun bila akan terbit tu.

Ini bukan kisah sedih, susah atau apa-apa yang menuntut simpati.

Apa yang saya cuba sampaikan ialah hidup berumah tangga tidak seindah mimpi ketika bercinta. Perkahwinan bukan kemuncak kasih sayang. Akad yang kamu lafaz dan terima itu akan menjadi ‘moment of truth’ terhadap segala janji dan kesanggupan yang kamu canang-canangkan kepada satu dunia sebelum itu.

Kalau duit menjadi antara punca rumah tangga kamu berantakan, kamu akan sentiasa rasa terbeban dan tertekan.

Kalau duit masih jadi ‘tuhan’ yang menentukan kebahagiaanmu, sampai bila-bila kamu akan jadi ‘hamba’.

Kalau duit menyebabkan kamu terfikir untuk berpisah atau memang terpisah terus dengan orang yang kamu sayang, lebih baik tak ada duit.

Wahai isteri, selagi suamimu masih tidak berhenti berusaha, bergembiralah. Tuhan tidak pernah membiarkan hamba-hamba-Nya yang berusaha. Doakan dia. Doa yang tidak putus. Berdamai dengan kebimbanganmu terhadap rezeki yang kamu sendiri tahu, sudah Tuhan tetapkan untukmu. InsyaAllah, ada antaranya melalui suamimu.

Wahai suami, jangan sekali-kali mahu sentiasa tunjuk kuat dan mampu di hadapan isterimu. Isteri adalah sejenis kaum yang selalu dapat membaca hati dan riyak mukamu, walaupun kamu cuba berpura-pura. Apa sahaja masalahmu, kongsikan dengannya. Jangan kerana terlalu fokus mahu menyelesaikannya, kamu membuatkan isterimu tertanya-tanya, ternanti-nanti dan terasa dipinggirkan.

Tunjukkan dan ceritakan usaha kamu kepadanya. Berikan dia rasa ‘selamat‘ itu dan biarkan dia tenang kerana tahu dia tidak salah memilihmu sebagai suami. Hargai kesabarannya bersama kamu.

Cinta itu sentiasa ada dalam sabar. Ia sentiasa akan hidup subur dalam tolak ansur yang kamu berikan ketika kamu sudah sama-sama terikat dalam akad; ketika saat susah dan senang.

Mungkin zaman ini, soalan sebenar sebelum mahu bercinta dengan sesiapa atau menerima lamaran sesiapa ialah sanggupkah kamu terus berkongsi hidup dengannya jika dia ditakdirkan tidak bergaji minimum RM5,000.00 sebulan?

Ini pula antara reaksi netizen yang menyahut cabaran yang sama …

#SuamiDariMarikhIsteriDariZuhrah

Dikongsikan dari Facebook Asal Penulis : Zuryati Isa