Mangsa Berita Palsu – “Siti Nurhaliza Nafi Disaman Kerajaan”

Sedang hangat diperkatakan dimedia sekarang ini adalah berita tentang Siti Nurhaliza yang dikatakan di saman kerajaan.  Berikut adalah antara berita dan pengakuan tersebut :

BELUM pun reda kegembiraan menyambut kelahiran anak perempuannya tempoh hari, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terpaksa menafikan dakwaan liar yang dilemparkan terhadapnya.

Melalui entri terbaharunya di laman sosial Instagram, Siti Nurhaliza tampil memberi pencerahan mengenai penyebaran berita palsu oleh sebuah blog.

Malalui laporan blog berkenaan, dia dikatakan menggunakan maklumat secara tidak sah semata-mata untuk meraih jutaan ringgit.

Justeru, penyanyi berusia 39 tahun itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang diterima selain meminta masyarakat agar tidak terpengaruh dengan berita palsu itu.

“Berita ini terdapat di dalam sebuah blog iaitu blogspotcentral.com dengan tajuk lain tetapi apabila kita klik pautan yang berkenaan, akan keluar berita yang memaparkan wajah saya dengan ejaan nama Sita Nurhaliza.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya berita di atas (jika dirujuk kepada saya) dan perkara tersebut tidak ada kena mengena dengan diri saya.

“Ingatkan waktu berpantang, bolehlah berehat tapi tak mengapa, saya perlu jelaskan sesuatu supaya tidak ada orang yang keliru dengan berita palsu ini,” tulisnya di laman Instagram.

Ketika ini, dia yang merupakan isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, sedang berpantang selepas melahirkan bayi perempuan yang diberikan nama Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.

Menerusi perkongsiannya itu, Siti Nurhaliza turut memuat naik paparan skrin berita dari blog Bahasa Inggeris berkenaan bertajuk ‘Sita Nurhaliza Being Sued After Using Illegal Information To Make Millions (Sita Nurhaliza Didakwa Menggunakan Maklumat Tidak Sah Untuk Raih Jutaan)’.

Dalam berita yang dilaporkan blog itu, nama ikon muzik negara itu dieja sebagai Sita Nurhaliza dan bukannya Siti Nurhaliza.

Petikan dari berita berkenaan.

Selain itu, artikel tersebut melaporkan bahawa penyanyi itu akan disaman kerajaan persekutuan kerana menggunakan pengaruhnya untuk melakukan pelaburan secara tidak sah.

Bingung dengan perkara itu, Siti Nurhaliza turut mempersoalkan motif berita palsu tersebut disebarkan oleh pemilik blog berkenaan.

Dia juga meminta blog berkenaan untuk memadam gambarnya dan artikel itu malah bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak berbuat demikian.

“Apakah tujuan yang cuba dibuat oleh pihak yang menulis berita tersebut? Saya tidak pasti namun menggunakan wajah saya dan nama Nurhaliza telah mengundang pertanyaan ramai orang mengenai berita tersebut.

“Saya berharap agar pihak yang membuat berita palsu ini segera memadamkan wajah dan nama saya kerana saya tidak ada kena mengena langsung dengan berita tersebut.

“Jika perkara ini berlanjutan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan akan merujuk kepada pihak yang lebih arif,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Sumber : mynewshub.cc


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *