Kumpulan KRU Bubar !!! Berderai Air Mata Norman Sewaktu Buat Pengumuman [METROTV]

Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

ANGGOTA KRU, Datuk Norman Abdul Halim sebak sebaik mengumumkan pembubaran kumpulan pop terkenal tanah air era 1990-an itu, hari ini.Menurut Norman, pembubaran rasmi akan dilakukan sebaik tamat persembahan terakhir KRU di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 6 Mei ini.

“Setiap perkara pasti akan ada penghujungnya. Kami mempunyai perjalanan karier nyanyian menakjubkan sepanjang 25 tahun dalam industri muzik tanah air,” katanya.

 

Norman, 46, berkata keputusan KRU untuk bersara sebagai penyanyi adalah supaya anggota kumpulan itu fokus sepenuhnya terhadap tanggungjawab masing-masing.

“Tiada apa untuk kami capai lagi. Kami sudah menang banyak anugerah dan membuat ratusan persembahan.

“Ini keputusan yang terpaksa kami lakukan untuk terus maju ke hadapan sebagai individu.

“Sebenarnya kami sudah berbincang mengenai pembubaran ini sejak setahun lalu sebelum mengambil keputusan mengumumkan berita itu pada sidang media dan bukan pada konsert,” katanya.

Ujar Norman lagi, tiada perancangan untuk KRU membuat persembahan reunion pada masa hadapan berikutan setiap anggotanya sibuk dengan hidup masing-masing.

KRU yang turut dianggotai Edry dan Yusry akan mengeluarkan album kompilasi 29 lagu hit yang akan dilancarkan pada 4 Mei ini.

Album itu memuat satu lagu bonus baru berjudul Tahan Lama yang menampilkan penyanyi Joe Flizzow.

Konsert Gergasi KRU25 akan berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari mulai 4 hingga 6 Mei ini.

Tiket menyaksikan persembahan KRU boleh dibeli menerusi laman web www.kruarena.com.

Artikel ini disiarkan oleh Harian Metro pada : Rabu, 18 April 2018 @ 5:59 PM


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *