Apakah tanda besar kiamat yg pertama? Amal doa ini agar kt sentiasa dilindungi-Nya.

Soalan

Assalamualaikum wbt. Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah tanda besar Kiamat yang pertama?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan daripada Kitab Asyrat al-Sa’ah oleh Dr Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil antara lain menyebut: “Imam Ahmad dan Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abi Zur’ah yang berkata:

Ada tiga puak orang Islam yang bertemu Marwan bin al-Hakam di Madinah lalu mereka mendengar beliau sedang membicarakan berkenaan tanda akhir Kiamat dengan menyebut bahawa yang pertama kali keluar ialah Dajjal. Lantas Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma berkata, Marwan tidak mengatakan sesuatu. Sesungguhnya aku menghafal satu hadis daripada Rasulullah SAW di mana aku tidak lupa lagi. Aku mendengar Baginda SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ خُرُوجًا طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا ، وَخُرُوجُ الدَّابَّةِ عَلَى النَّاسِ ضُحًى ، وَأَيُّهُمَا مَا كَانَتْ قَبْلَ صَاحِبَتِهَا ، فَالْأُخْرَى عَلَى إِثْرِهَا قَرِيبًا

Maksudnya: Sesungguhnya tanda-tanda Kiamat yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari Barat dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha. Antara keduanya tidak diketahui mana yang terkemudian keluarnya tetapi keluarnya secara berturutan. Yang satu mengikuti yang satunya dalam jangka waktu yang singkat.

Riwayat Muslim (5238) dan Ahmad (6881)
dengan tahqiq Ahmad Syakir.

Mengikut riwayat Ahmad, beliau menambah: Dan Abdullah berkata sambil membaca kitab dan saya berpendapat, yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari Barat.

Ibn Hajar menggabungkan antara keluarnya Dajjal dan keluarnya matahari dari Barat sebagai tanda yang keluar pertama kali: “Dari riwayat tersebut, maka dapat ditarjihkan bahawa keluarnya Dajjal sebagai tanda datangnya hari Kiamat yang pertama kali muncul yang memberitahu terjadinya perubahan keadaan di bumi. Dan perkara ini berakhir dengan wafatnya Isa AS.

Sedangkan terbitnya matahari dari Barat menunjukkan perubahan keadaan alam dan perkara ini berakhir dengan datangnya hari Kiamat dan keluarnya binatang Dabbatul Ard. Kemungkinan terjadi pada hari terbitnya matahari dari Barat.

Hikmahnya bahawa ketika matahari terbit dari Barat, pintu taubat ditutup lalu keluarlah binatang Dabbatul Ard yang kedatangannya untuk membezakan antara Mukmin dan Kafir dengan maksud menyempurnakan penutupan pintu taubat. Sedangkan tanda yang pertama kali datangnya Kiamat ialah api yang menghimpunkan seluruh manusia. (Lihat Fath al-Bari, 11/353)

Al-Hafiz Ibn Kathir berpendapat keluarnya binatang dari perut bumi merupakan tanda-tanda hari Kiamat yang pertama kali terjadi. Wallahua’lam.

Pendapat yang muktamad dan kuat ialah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar iaitu dengan keluarnya Dajjal.

Kita beriman dengan perkara yang ghaib termasuk beriman dengan hari Kiamat. Semoga Allah tetapkan iman kita sampai ke akhir hayat.

Cara Menghadapi Fitnah Dajjal

Antara cara lain untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:

  • Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta
    memperbanyakkan amalan soleh.
  • Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
  • Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
  • Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
  • Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.
  • Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas.

Berdoa Dari Fitnah Dajjal

Terdapat hadis Rasulullah SAW mengajar kita membaca selepas tahiyyat akhir:

إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa: (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat Muslim (588)

Dikatakan Thawus bin Kaisan, apabila anaknya selesai solat akan bertanya: Adakah beliau sudah membaca doa ini. Jika dijawabnya tidak, nescaya diminta untuk mengulangi solat dan membaca doa ini.

Dalam doa ini, terdapat empat yang diminta untuk berlindung dengan Allah:

  • Azab Neraka Jahannam
  • Azab kubur
  • Fitnah kehidupan dan kematian
  • Kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal

Ini menunjukkan kejahatan fitnah Dajjal dapat dielakkan dengan cara berdoa kepada Allah dan memohon kepada-Nya.

Penutup

Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”.

Riwayat Muslim (588)

Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.


Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*