Jangan lupa ya ! Inilah cara yang betul nak bagi ‘salam’ bila masuk rumah yg kosong.

Teringat kata orang tua dulu-dulu, lalu atau masuk rumah kosong mesti beri salam.  Dikatakan rumah yang kosong tetap ada ‘penghuninya’ walau tidak dapat dilihat melalui mata kasar.

Namun, sejauh manakah kebenarannya?

Kita sentiasa diperintahkan untuk mengucapkan salam pada rumah yang kita masuki sebagai mendoakan kesejahteraan penghuni rumah tersebut.  Apa pula hukumnya jika salam itu diberikan kepada rumah yang kosong? Mari dengar penjelasan dibawah.

SOALAN

Assalamualaikum SS Mufti. Saya ingin bertanya, adakah perlu untuk kita memberi salam ketika masuk ke dalam rumah yang kosong?

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW, dan ahli keluarga, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke hari kiamat.

Islam adalah agama yang sangat menyeluruh, sehinggakan bab memberi salam ketika hendak masuk ke dalam rumah juga disebutkan di dalam al-Quran seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)

Surah al-Nur: 27

Memberi salam juga adalah suatu Sunnah yang melambangkan identiti seorang Muslim. Salam yang mengandungi ucapan beserta doa itu melambangkan betapa eratnya hubungan di antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain itu, serta betapa prihatinnya dia terhadap saudaranya. Begitulah besarnya hikmah di sebalik seruan Nabi SAW terhadap umatnya melalui hadith yang diriwayatkan al-Bara’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَفْشُوا السَّلامَ تَسْلَمُوا‏

Maksudnya: Sebarkan (jadikan kebiasaan) salam, (maka) kamu akan sejahtera

Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad (979)

Persoalan yang diajukan di atas turut dibincangkan di dalam beberapa nas yang lain, tentang salam ketika masuk ke dalam rumah yang kosong. Antaranya hadith yang diriwayatkan Ibn Umar R.Anhuma bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ‏:‏ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ‏.‏

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh)”

Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad (1055)

Syeikh Zakaria al-Kandahlawi dalam mensyarahkan hadith ini telah menukilkan beberapa pandangan ulama’ yang berkaitan hadith ini. Dinukilkan daripada Ibn ‘Abbas mengatakan bahawa rumah yang tidak berpenghuni adalah termasuk rumah yang berpenghuni namun tidak ada orang di dalamnya. (Lihat Awjaz al-Masalik ila al-Muwatta’ Malik, 17/206)

Imam al-Suyuthi pula menukilkan bahawa sekiranya masuk ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya terdapat orang Islam, maka ucapkanlah salam, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh orang bukan Islam atau tiada orang di dalamnya, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin. Lihat al-Dur al-Mansur (6/208).

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hal ini membawakan firman Allah SWT:

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

Maksudnya: Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.

Surah al-Nur: 61

Beliau mengatakan berdasarkan ayat di atas, sekiranya masuk ke dalam rumah yang didiami oleh manusia atau tidak, maka disunatkan untuk menuturkan, bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memberi salam. (Lihat kitab al-Azkar, hlm. 49)

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami katakan bahawa apabila masuk ke dalam rumah yang kosong maka ucapkanlah:

السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

Hal ini sebagaimana yang dianjurkan di dalam al-quran dan hadith-hadith yang disebutkan di atas. Ini bagi menghormati makhluk-makhluk Allah SWT selain daripada manusia yang berkemungkinan tinggal di tempat tersebut.

Semoga Allah memberi taufik untuk memahami syariat-Nya. Amin

Sumber: Mufti WP


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *